FEBRUARI 2022

Kuching Miliki Kekuatan Sebagai Hos Citrawarna Keluarga Malaysia


KUCHING: Jurang pembangunan antara Sarawak dan Semenanjung harus dipertingkatkan supaya rakyat negeri ini bangga menjadi sebuah Keluarga Malaysia yang besar, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Lantas katanya, Kerajaan Sarawak menaruh harapan agar kerjasama di antara kedua-dua kerajaan terus dipertingkatkan supaya tiada mana-mana wilayah di negara ini ketinggalan. 

"Usaha-usaha seperti ini harus dilakukan agar kestabilan yang berkekalan terus wujud di seluruh negara supaya usaha dapat ditumpukan sepenuhnya untuk membangunkan Malaysia menjadi negara yang maju," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri Yakob di Tebingan Sungai Kuching di sini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Sehubungan itu, Abang Johari menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana 

telah memilih Sarawak, khasnya bandaraya Kuching sebagai tuan rumah penganjuran Program Citrawarna Malaysia 2022.

Katanya,  Kuching mempunyai kekuatan tersendiri sebagai hos kepada program ini sejajar dengan objektif mempromosikan pelbagai budaya di negara dan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat kepada dunia luar.

"Sarawak Bumi Kenyalang ini hampir sama besar dengan tanah Semenanjung yang terdiri daripada 12 bahagian pentadbiran. Bahagian Kapit contohnya, hampir sama besar dengan negeri Pahang. 

"Dengan kawasan yang luas sudah pasti Sarawak diwarnai dengan pelbagai keunikan masyarakat dan alam sekililingnya. Sarawak dengan sendirinya bersifat citrawarna dari segi budaya, bahasa dan dialek, bangsa dan keturunan, kepelbagaian makanan dan juga flora dan fauna," katanya.

Abang Johari berkata, selain diberi pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi, Kuching turut mencipta sejarah baharu dengan siapnya Museum Budaya Borneo nanti.

Sementara di sebelah Utara pula katanya, bandaraya Miri iaitu bandar raya peranginan terletak di tepi laut adalah pintu masuk kepada kompleks gua antara yang terbesar di dunia, iaitu Gua Mulu, sebuah lokasi warisan dunia UNESCO. 

"Malah Miri juga merupakan pintu masuk ke kompleks gua yang merupakan pertempatan prasejarah yang tertua di rantau ini, iaitu Gua Niah di mana ahli arkeologi telah menemui fosil manusia berusia lebih 60 ribu tahun," jelasnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti